SALAM

Sunday, August 16, 2009

Tikus Vs Manu bin Sia




Once upon a time......
Sepasang suami dan isteri petani pulang ke rumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam "hmmm...makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar??"

Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah perangkap tikus. Sang tikus naik panik bukan kepalang.

Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, "Ada perangkap tikus di rumah... di rumah sekarang ada perangkap tikus...."

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, "Ada perangkat tikus!" Sang Ayam berkata, " Tuan Tikus! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku pun turut bersimpati... tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku. "

Tikus lalu menemui Lumbu. Ia mendapat jawaban sama. "Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus. "

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular. Sang ular berkata "Elehh
engkau ni... Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku."

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri.

Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Ekor ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya ke rumah sakit. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun masih demam.

Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia.
Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa.
Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih sapinya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan...Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.


MORAL: SUATU HARI... KETIKA ANDA MENDENGAR SESEORANG DALAM KESUSAHAN DAN MENGIRA ITU BUKAN URUSAN ANDA... FIKIRKANLAH SEKALI LAGI.

Bersin: Apa ada perlu lakukan






Adab bersin tambah rahmat, mampu elak penyakit Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Rasulullah ajar doa untuk kesejahteraan umat bukti Islam sediakan cara hidup sempurna

DEMAM, batuk dan selesema yang menjadi mimpi ngeri kepada kita hari ini disebabkan serangan wabak selesema babi yang meragut berpuluh nyawa turut menghalang kita meneruskan rutin harian kerana bimbang dijangkiti atau menyebabkan jangkitan.

Benar hanya Allah SWT yang menentukan sesuatu berlaku, tetapi makhluk wajib berikhtiar menjauhi kebinasaan sama ada di dunia atau akhirat.

Justeru, dalam keadaan genting seperti hari ini, umat Islam perlu lebih tekun bertahajud dan berdoa (al-ma'thurat khususnya) seperti dilakukan Rasulullah SAW dan mengetahui cara hidup Islam sebenar, termasuk ketika menghidapi penyakit berbahaya.

Antara tanda awal selesema babi ialah demam diikuti selesema, batuk, sakit tekak dan sebagainya. Kebiasaan orang yang menghidap selesema akan bersin dan berasa tidak selesa. Memang ia agak menyukarkan, tetapi ajaran Islam menganjurkan umatnya supaya beradab ketika bersin seperti menutup mulut dan menahan suara supaya tidak terlalu kuat yang sedikit sebanyak mengurangkan penularan wabak penyakit.

Allah SWT menyukai bersin kerana orang bersin akan memuji-Nya. Dengan pujian itu, saudara atau sesiapa yang mendengar lafaz 'Alhamdulillah' yang diucapkan akan mendoakan kita dirahmati Allah kembali.


Bayangkan jika hanya seorang bersin dan ungkapan 'Alhamdulillah' didengari ramai orang, tentulah semua yang mendengarnya mendoakannya kembali dengan lafaz "Yarhamukallah'.

Berapa ramai yang mendoakan orang bersin dirahmati Allah? Dengan wabak yang menular, kita wajar saling mengingatkan mengenai penyakit itu, di samping mengambil langkah pencegahan agresif.

Kita juga perlu kembali kepada cara dan panduan dianjurkan agama dan tahu ungkapan yang disebut sesudah bersin adalah hikmah yang sungguh bermakna dan tidak menyamai ungkapan lain.

Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari maksudnya: "Jika seorang antara kamu bersin, hendaknya ia mengatakan Alhamdulillah (segala puji hanya bagi Allah). Kemudian saudaranya atau temannya mengucapkan Yarhamukallah (mudah-mudahan Allah merahmatimu). "Jika dia mengucapkan Yarhamukallah, maka ia mengucapkan Yahdikumullah wa yushlih balakum (mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk-Nya kepadamu dan memperbaiki keadaanmu."

Dalam hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyintai bersin dan membenci menguap. Jika ada antara kamu bersin dan memuji Allah Azzawajalla, wajib bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mengucapkan Yarhamukallah.

"Menguap berasal daripada syaitan. Jika ada antara kamu yang menguap, ia perlu menahan sekuat tenaga kerana jika menguap, maka syaitan akan mentertawakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Memang tiada sesiapa pun yang memuji Allah selepas menguap, malah kadangkala terlupa untuk menutup mulut, tetapi hakikat bahawa Allah menyukai bersin kerana ia akan memuji Allah, jika tidak ia tiada bezanya dengan menguap.

Bahkan orang yang mendengar sesiapa yang bersin dan tidak mengucapkan 'Alhamdulillah' tidak perlu mendoakannya atau mengucapkan 'Yarhamukallah'.

Rasulullah SAW turut menjelaskan hal sedemikian dalam sabda Baginda mafhumnya: "Jika seorang antara kalian bersin kemudian memuji Allah (hamdalah), maka doakanlah ia. Jika dia tidak memuji Allah maka jangan kalian mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Pernah berlaku satu keadaan di mana terdapat dua orang lelaki yang bersin di hadapan Rasulullah SAW dan Baginda mendoakan salah seorang lelaki berkenaan. Kemudian orang yang tidak didoakan oleh Rasulullah itu bertanya kenapa Rasulullah tidak berbuat demikian kepadanya (iaitu berdoa), lalu Rasulullah menjawab: "Yang ini memuji Allah tetapi engkau tidak memuji Allah."

Selain memuji Allah SWT, perbuatan saling berdoa yang kita lakukan menunjukkan hubungan persaudaraan yang teguh dan manis, kasih sayang yang kuat dan utuh antara saudara seagama.

Begitulah cara hidup Islam, apa saja yang dilakukan terangkum dalam peraturan sempurna demi mendapat rahmat Allah yang turut merangkumi kesihatan yang sejahtera.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan.
Sekadar berkongsi ilmu...
Di petik dari Berita Harian 13 Ogos 2009

Wednesday, August 12, 2009

Apa yg penting..........


Ibarat sebuah pasukan, warga skfbk bersatu dan bekerjasama dalam semua tindakan supaya dapat mengeluarkan produk dan keluaran bermutu seterusnya mencapai MISI SEKOLAH iaitu .... Sekolah Bestari 2010....

Islam larang perpecahan

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah memerintahkan orang beriman supaya berpegang dengan tali Allah dan al-Quran, begitu juga jangan berpecah belah, diterangkan kamu pula berkenaan jalan kesatuan.

Allah SWT menjelaskan pada ayat berikut dengan arahan supaya jangan ada di kalangan orang Islam berpecah belah kerana permulaan natijah perpecahan itu ialah buta daripada kebenaran seperti dalam ayat-ayat berikut.

Ayat ke-105

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

OlehUzar

Hadith: " Tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur spa kepada saudaranya lebih dari tigas hari, maka jika telah berlalu tiga hari itu, hendaklah dia bertemu dengannya dan memberi salam kepadanya. Jika saudaranya menjawabsalamnya, maka kedua-duanya akan sama-sama memperoleh pahala. Jika dia tidak menjawab salamnya, nescaya dia akan menanggung dosanya sedangkan yang memberi salam itu sudah terlepas dari dosa tidak bertegur sapa itu" ( Riwayat Abu Daud , riwayat dari abu daud ini dhoif tetapi terdapat riwayat sohih dari al-bukhari )

Riwayat bukhari : " tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa (kerana gaduh) lebih dari tiga hari..yang lebih baik antara keduanya adalah yang memulakan salam" ( al-Bukhari)

Nabi juga sebut : " Silaturahmi itu tergantung di arasy lalu berkata : "Sesiapa yang menyambungku (silaturahmi) maka Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskan ku maka Allah akan memutuskannya" ( Al-Bukhari 4/112 )

Nabi juga sebut : Tidak masuk syurga sesiapa yang memutus silaturrahmi " ( al-Bukhari)

Al-Qaradawi menyebut bahawa tidak bertegur sapa dalam hadith di atas adalah hasil dari pertengkaran dan pergaduhan berkaitan dunia semata-mata, adapun jika bertengkar dan tidak bertegur sapa berkenaan urusan akhirat, maka hukum 3 hari sebagai maksimum adalah dikecualikan berdasarkan kpd beberapa peristiwa 3 org sahabat yg cicir di Tabuk di boikot lebih 40 hari, Nabi dan isteri baginda, dan beberapa org sahabat lagi. (rujuk al-Halal wal haram fil islam)

.....tidak terputus hubungan, cuma renggang sikit dari dahulunya yang mungkin mesra dan rapat (itupun kena lihat dari sudut kerana urusan akhirat atau dunia semata-mata) ...dan akibat renggang maka tiada banyak perkara yang ingin dikongsi bersama lagi..justeru, menyebabkan hubungan dan komunikasi menjadi kurang. pada hemat saya, ia masih dalam ruang yang dibenarkan.. wallahu'alam.

Ada juga renggang dan tidak bertegur sapa yang mungkin dibenarkan kerana ditakuti berlaku mudarat yang besar. Selain itu, ada juga yang renggang bukan kerana pengaruh pergaduhan tetapi kerana berpindah dan duduk berjauhan. Ini semua perlu dilihat satu demi satu bagi memberikan hukum yang sewajarnya.

www.zaharuddin.net

Wednesday, August 5, 2009

SEJARAH SEKOLAH




PENDAHULUAN

Sejarah penubuhan SKFBK telah bermula secara tidak langsung semenjak penubuhan Felcra Bukit Kepong itu sendiri pada tahun 1970 an. Jumlah peneroka atau keluarga peringkat pertama iaitu seramai 248 keluarga, diikuti peringkat kedua seramai 152 dan peringkat ketiga 152 keluarga. Anak-anak peneroka mendapat pendidikan awal di SK Felda Chemplak yang terletak lebih kurang 6km manakala di peringkat sekolah menengah pula mereka terpaksa berulang alik setiap hari di SMK Labis yang jauhnya lebih kurang 17km dan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Kedua-dua sekolah ini adalah terletak di kawasan daerah Segamat.

FAKTOR DAN USAHA PENDUDUK

Sejajar dengan pertumbuhan dan perkembangan pendididikan dan bilangan penduduk yang semakin bertambah ketika itu, telah wujud satu usaha di kalangan beberapa orang peneroka yang bergiat aktif dalam aktiviti sosial dan politik untuk menaik taraf kemudahan dan pendidikan di kawasan Felcra Bukit Kepong ini. Antara usaha pertama yang penting ialah memohon untuk mendirikan sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan Felcra. Ini adalah bertujuan bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah mereka yang terpaksa membayar sewa van dan bas dengan pendapatan yang rendah dan kecil. Ketika itu perkhidmatan van dan bas sekolah merupakan pengangkutan utama untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah selain daripada motosikal. Memandangkan pendapatan mereka yang kecil, mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar kos atau sewa perkhidmatan ini.

Justeru inisiatif yang telah diambil ini adalah satu usaha yang sangat tepat dan bersesuaian dengan keperluan pada masa itu bagi menjamin kemudahan dan peningkatan taraf kualiti hidup dan pendidikan masyarakat di sini. Namun usaha ini tidak semudah yang disangkakan, mereka terpaksa beberapa kali berulang-alik ke Kementerian Pendidikan yang terletak di Kuala Lumpur untuk memohon sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah yang lebih dekat dengan kawasan tempat tinggal mereka. Selain itu, kedudukan geografi kawasan ini yang terletak jauh dari bandar Muar dan Segamat serta jumlah murid yang ramai dan semakin bertambah pada masa itu juga merupakan faktor yang mempengaruhi kepada penubuhan sekolah ini.

Setelah beberapa kali berusaha, akhirnya usaha mereka ini berhasil untuk mendirikan sebuah sekolah rendah di Felcra ini. Namun pada masa yang sama juga Kementerian Pendidikan menetapkan syarat untuk mencari tempat untuk mendirikan sebuah sekolah menengah bagi keperluan lebih kurang 700 orang pelajar daripada mereka ini di kawasan daerah Muar. Cadangan awal untuk mendirikan sekolah menengah ialah di sekitar kawasan Bukit Kepong, memandangkan semua pelajar yang berada di kawasan itu terpaksa berulang-alik sejauh 40 km ke Pagoh kerana sekolah menengah yang paling hampir hanya terletak di pekan ini. Antara kampung-kampung yang terletak di kawasan Bukit Kepong ini ialah Kampung Bukit Benda, Kampung Tui, Kampung Kecik dan selainnya.

PEMBINAAN BANGUNAN

Maka satu persetujuan di antara beberapa pihak antaranya Kementerian Pendidikan, FELCRA Sdn. Bhd., dan juga pihak peneroka telah dibuat untuk membina sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di kawasan tanah Felcra. Pada 5hb. Jun 2000, satu majlis besar-besaran iaitu upacara pecah tanah oleh Tan Sri Mahyuddin b. Mohd Yassin telah dilakukan dengan jayanya. Majlis yang sangat bersejarah itu merupakan detik permulaan pembinaan sekolah ini secara rasmi dan telah dihadiri oleh pelbagai pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak dengan projek ini. Kontrakrtor yang terlibat untuk menguruskan projek ini ialah Ijay Sdn. Bhd . Kawasan ini pada asalnya ialah kawasan yang agak berpaya dan proses menambak tanah terpaksa di buat terlebih dahulu bagi memastikan bangunan yang akan dibina sentiasa kukuh dan kuat.

Pada 20hb. Julai 2000, operasi pembinaan sekolah bermula dan telah siap pada tahun 2002. Selama tempoh lebih kurang 2 tahun ini pelbagai peristiwa dan kejadian yang belum pasti kebenaranya telah diceritakan dan menjadi buah mulut penduduk sekitar. Projek ini telah menelan belanja RM 9 juta dan diiktiraf sebagai sekolah tercanggih dan termahal di negeri Johor. Pada 16hb. Disember 2002 bangunan sekolah ini dengan rasminya diserahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor kepada pihak sekolah. Bermula pada 6hb Januari 2003 maka bermulalah sesi persekolahan pertama yang diterajui oleh Guru Besar pertama pada masa itu iaitu Encik Abd Ghafar B Hj. Kasim dan jumlah murid pada masa itu ialah seramai 465 orang. Kebanyakan guru-guru dan murid-murid ini adalah di kalangan mereka yang telah mengajar dan bersekolah di SK LKTP Felda Chemplak. Oleh itu secara automatiknya mereka yang terdiri daripada kalangan anak-anak peneroka Felcra Bukit Kepong berpindah ke sekolah ini.